Pasca Manusia |
Miselani dan macam-macam lagi |
Waktu aku kenal dia, aku baru mula belajar main biola.
Cikgu aku, seorang budak Aswara - yang sumpah, aku rasa umur dia 15 - yang kenalkan kami.
“Qistina.” katanya, menuding pada seorang perempuan, dengan baju-t “Punk’s not dead. It’s Just Buried Alive.’
Aku belajar di ruang tamu rumah keluarga cikgu aku. Qistina di sofa, bila diperkenal, hanya mengangguk sedikit kepala, dan kemudian terus membaca majalah fesyen ditangannya.
Waktu Qistina ke dapur, aku tanya,
“Siapa?”
Dia kata kawan kakaknya. Katanya Qistina dah lama nak jumpa aku.
Aku agak sebab buku yang aku tulis — sebuah koleksi cerita, yang aku rasa kau mungkin tak pernah dengar. Aku tak cetak banyak, dalam 200 - dan dua tahun baru ia habis - tapi semua orang yang membacanya kata mereka sukakan buku aku tu.
Bukanlah mengejutkan, sebab kebanyakan yang beli buku tu kawan-kawan.
Tapi sebab koleksi buku itu, aku ditemuramah dua akhbar. Jadi, sekali-sekala akan ada orang yang datang pada aku, dan bertanya tentangnya.
Tapi selalunya bila aku tanya pendapat mereka tentang buku aku, mereka akan ketawa dan mengubah arah perbualan.
Tapi semua itu, tak penting sangat.
Yang penting, dua tahun kemudian, aku diberitahu Qistina sudah meninggal.
Juga oleh cikgu biola aku.
Setahun selepas aku berhenti belajar biola.
3 bulan selepas Qistina tinggalkan aku.
* * *
Pertama kali aku keluar dengan Qistina, dia bawa aku ke sebuah kedai makanan Jepun di Bangsar. Kedai tu dah tutup. Kini diambil alih oleh kedai tayar di sebelahnya. Tapi, tiap kali aku melintas kedai itu, aku masih rasa hati aku dikisar-kisar.
Memang lucu, nostalgia tentang kedai menjual tayar. Tapi nostalgia seperti dadah yang mengubah persepsi kita, menjadikan setiap miniskul benda begitu bermakna.
Di kedai Jepun itu, Qistina bertanya pada aku, tentang sebuah cerita yang aku tulis. Cerita tentang seorang budak yang mahukan Unikorn untuk harijadinya. Soalannya bukan tentang cerita aku per se, tapi dia nak tahu samada aku percaya atau tidak Unikorn wujud.
“Ya,” katanya, bila aku ajukan soalan yang sama.
Aku jadi serba-salah sebenarnya.
Aku tak percaya unikorn wujud. Tapi aku mahu dia sukakan aku. Dan waktu itu, aku yakin, kalau aku nafikan kewujudan unikorn. apa yang kami ada, akan berakhir.
Jadi, aku piih jawapan selamat.
“Saya agnostik.”
Ada sedikit perubahan di mukanya. Tapi dia hanya tersenyum, dan hari itu berlalu tanpa apa-apa insiden yang tak diingini.
Tapi, bila aku fikirkan kembali, aku syak, inilah permulaannya.
Jawapan aku inilah yang buat Qistina tinggalkan aku, 3 bulan sebelum dia meninggal.
(bersambung)